Friday, May 27, 2011

Sayyidina Ali: 3 Versi





VERSI SATU


Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Sahabat nabi yang sangat cerdik dan luas ilmu pengetahuannya.
Jelas terbukti kecerdikan menantu dan sepupu nabi ini apabila
Rasulullah SAW memberi julukan kepada beliau di dalam
hadisnya sebagai "gerbang ilmu".

Apabila wafatnya Khalifah Islam ketiga, Sayyidina Uthman bin Affan,
maka Sayyidina Ali dilantik menjadi Khalifah Islam yang keempat.
Maka dengan itu, lengkaplah bilangan anggota dalam
senarai Khulafa' Ar-Rasyidin,
pemimpin Islam yang utama selepas pemergian junjungan mulia,
Nabi Muhammad SAW.



* * *


Sayyidina Ali Karamallahu wajhah
(Allah memuliakan wajahnya)
pernah berkata:


"Allah SWT mengetahui betapa aku tidak suka memimpin pemerintahan
atau memegang kuasa dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW
sebab aku mendengar sendiri baginda bersabda:

'Tidak ada seorang penguasa pun yang memerintah umatku,
yang kelak tidak akan dihadapkan kepada rakyatnya,
untuk diperlihatkan catatan-catatan perbuatannya.

Jika dia seorang yang adil, maka selamatlah.
Tapi jika dia seorang yang berlaku zalim,
akan tergelincirlah ke dalam Neraka.'"



Telah ditakdirkan Allah SWT, Sayyidina Ali pergi
meninggalkan umat Islam buat selama-lamanya pada
17 Ramadhan tahun 40 Hijrah.

Tarikh yang tidak akan kita lupakan kerana berlakunya
tragedi hitam pembunuhan kejam Sayyidina Ali oleh
pemberontak yang rakus.

Pemberontak yang buta dengan kepentingan diri.

Ketika itu, Sayyidina Ali sedang berjalan kaki
menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardhu Subuh.
Tiba-tiba muncul lelaki bernama Abdul Rahman bin Muljam
dengan pedang erat di tangan.
Bersedia bila-bila untuk menerkam
dan menembusi tubuh Ali.

Pedang itulah yang telah mencederakan
Sayyidina Ali dengan parah hingga beliau rebah.

Sayyidina Ali kemudiannya telah diusung
pulang ke rumahnya oleh sahabat-sahabat.


* * *

Ketika itu ramai yang ingin membalas dendam
terhadap apa yang berlaku tetapi Sayyidina Ali sendiri
dengan lapang dada dan ikhlas langsung tidak menyebut
soal balas dendam di depan sahabat-sahabatnya.


Umat Islam berasa sedih melihat keadaan
Sayyidina Ali yang semakin lemah.
Sayyidina Ali tahu bahawa sudah hampir masanya
untuk beliau menyusuli Rasulullah SAW dan
tiga orang Khalifah baginda sebelum ini.


Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu,
Sayyidina Ali k.w.h. sempat berwasiat:


"Ku wasiatkan kepada kamu supaya tetap
bertaqwa kepada Allah.

Janganlah kamu mengejar-ngejar dunia
walau dunia mengejar kamu
dan janganlah menyesal jika ada
sebahagian dunia itu terlepas darimu.

Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kamu
dan jagalah hubungan persaudaraan antara kalian.
Ketahuilah, pertengkaran itu merosakkan agama dan
ingatlah bahawa tidak ada kekuatan apa pun
selain atas perkenan Allah.

Perhatikan anak-anak yatim agar jangan
sampai mereka kelaparan dan
jangan sampai kehilangan hak.
Perhatikan Al Quran, jangan sampai kamu
mendahulukan orang lain
dalam mengamalkannya.

Perhatikan tetangga kamu kerana mereka
adalah wasiat Nabi kamu."

.......................................................................................................................





VERSI DUA



Pada suatu ketika Rasulullah SAW pernah
menyatakan bahawa dirinya diibaratkan sebagai kota ilmu,
sementara Sayyidina Ali bin Abi Thalib adalah
gerbang ilmunya.

Mendengar pernyataan Rasulullah itu,
sekelompok kaum Khawarij
tidak mempercayainya.

Mereka tidak percaya, apakah benar
Ali bin Abi Thalib cukup pandai
sehingga ia mendapat julukan “gerbang ilmu”
dari mulut Rasulullah SAW.


Berkumpullah sepuluh orang dari kaum Khawarij.
Kemudian mereka bermusyawarah untuk menguji
kebenaran pernyataan Rasulullah tersebut.


.........................................................................................................................

Seorang di antara mereka berkata,

“Mari sekarang kita tanyakan pada Ali
tentang satu masalah sahaja.
Bagaimana jawaban Ali tentang masalah itu.
Disitu kita akan dapat menilai seberapa jauh
mana kepandaiannya.

Bagaimana? Apakah kalian setuju?”

“Setuju!”

jawab mereka serentak.


“Tetapi sebaiknya kita bertanya secara bergilir-gilir saja”,
saran yang lain.

“Dengan itu kita dapat mencari kelemahan Ali.
Namun bila jawaban Ali nanti selalu berbeza-beza,
barulah kita akan percaya bahawa Ali
memang orang yang cerdas.”

“Bagus juga cadanganmu itu. Mari kita laksanakannya!"

"Mari!"

sahut yang lainnya.

* * *

Hari yang telah ditetapkan telah tiba.
Orang pertama datang menemui Ali lantas bertanya,

“Manakah yang lebih utama, ilmu atau harta?”

“Tentu saja ilmu yang lebih utama,” jawab Ali tegas.

"Ilmu adalah warisan para Nabi dan Rasul,
sedangkan harta adalah warisan Qarun, Fir’aun,
Namrud dan lain-lainnya,"

Ali menambah.

Setelah mendengar jawaban Ali, orang itu kemudian mohon untuk pergi.
Tak lama kemudian datang orang kedua
dan bertanya kepada Ali dengan persoalan yang sama.

“Manakah yang lebih utama, ilmu atau harta?”

Ilmu lebih utama jika dibandingkan dengan harta,” jawab Ali.

“Mengapa?

“Kerana ilmu akan menjaga dirimu,
sementara harta sebaliknya,
engkau harus menjaganya."

Orang kedua itu pun pergi setelah mendengar jawaban Ali sedemikian.


Orang ketiga pun datang menyusul dan bertanya
seperti orang sebelumnya.

“Bagaimana pendapat tuan bila ilmu
dibandingkan dengan harta?”

Ali kemudian menjawab,

“Harta lebih rendah dibandingkan dengan ilmu.”

Mengapa pula begitu?” Lelaki itu mohon penjelasan.

“Sebab orang yang banyak harta akan
mempunyai banyak musuh.
Sedangkan orang yang kaya ilmu akan
banyak orang yang menyayanginya dan
hormat kepadanya.”

Setelah orang itu pergi, tak lama kemudian orang
keempat pun datang dan menanyakan
permasalahan yang sama.

Setelah mendengar pertanyaan yang diajukan oleh orang itu,
Ali pun kemudian menjawab,

“Ya, jelas-jelaslah yang lebih utama ilmu.”

“Apa yang menyebabkan demikian?” tanya orang itu mendesak.

Kerana bila engkau pergunakan harta,” jawab Ali,
“jelas-jelas harta akan semakin berkurang.
Namun bila ilmu yang engkau pergunakan,
maka ilmu itu akan bertambah banyak.”

Orang kelima kemudian datang setelah perginya
orang keempat dari hadapan Ali.

Ketika menjawab pertanyaan orang ini,
Ali pun menerangkan,

“Jika pemilik harta ada yang menyebutnya bakhil,
maka pemilik ilmu akan dihargai dan disegani.”

Orang keenam lalu menjumpai Ali dengan
pertanyaan yang sama pula.
Namun tetap saja Ali mengemukakan alasan yang berbeza.

Jawaban Ali tersebut ialah,

“Harta akan selalu dijaga dari kejahatan,
sedangkan ilmu tidak usah dijaga dari kejahatan,
lagi pula ilmu akan menjagamu.”

Dengan pertanyaan yang sama orang ketujuh datang kepada Ali.
Pertanyaan itu kemudian dijawab Ali,

“Pemilik ilmu akan diberi syafa’at oleh Allah SWT
di hari kiamat nanti,
sementara pemilik harta akan dihisab
oleh Allah kelak.”

Kemudian sepuluh orang dari kaum Khawarij ini berkumpul lagi.
Mereka yang sudah bertanya kepada Ali
mengutarakan jawaban yang diberikan Ali.

Mereka tak menduga setelah mendengar setiap jawaban,
ternyata alasan yang diberikan Ali semuanya berbeza.


...................................................................................................


Sekarang tinggal tiga orang yang belum melaksanakan tugasnya.
Mereka yakin bahawa tiga orang itu akan dapat mencari
kelemahan Sayyidina Ali.

Ketiga-tiga mereka itu dianggap yang paling pandai di antara mereka.
Orang kelapan menghadap Ali lantas bertanya,


“Antara ilmu dan harta, manakah yang lebih utama wahai Ali?”

“Tentunya lebih utama dan lebih penting adalah ilmu,” jawab Ali.

“Kenapa begitu?” tanyanya lagi.

“Dalam waktu yang lama,” kata Ali menerangkan,
“harta akan habis, sedangkan ilmu adalah sebaliknya,
ilmu akan abadi.”

Orang kesembilan datang dengan pertanyaan tersebut.

“Seseorang yang banyak harta”, jawab Ali pada orang ini,
“akan dijunjung tinggi hanya kerana hartanya.
Sedangkan orang yang kaya ilmu dianggap intelektual. “

Sampailah giliran orang terakhir.
Ia pun bertanya pada Ali hal yang sama.

Ali menjawab,

“Harta akan membuatkan kamu tidak tenang
dengan kata lain akan mengeraskan hatimu.
Tetapi, ilmu sebaliknya akan menyinari hatimu
hingga hatimu akan menjadi terang dan
tenteram kerananya.”

Ali pun kemudian menyedari bahwa dirinya telah
diuji oleh orang-orang itu.

Ali tersenyum lantas berkata,

“Andaikata engkau datangkan semua orang untuk bertanya,
insya Allah akan aku jawab dengan jawaban
yang berbeza-beza pula, selagi aku masih hidup.”

Sepuluh orang itu akhirnya menyerah.
Mereka percaya bahwa apa yang dikatakan oleh
Rasulullah SAW itu adalah benar belaka.

Dan Sayidina Ali memang selayaknya mendapat julukan “gerbang ilmu”.
Sedang Rasulullah itu tiada dusta dalam berkata-kata.


................................................................................................................................................




VERSI TIGA


ALI bin Abi Talib adalah Khalifah Islam keempat yang dilantik
selepas mendapat sokongan majoriti dari umat Islam.

Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 35 Hijrah.
Dan panglima bernama Ali bin Abi Talib ini dilahirkan pada tahun 602 Masihi.

Beliau berasal daripada Bani Hasyim yang berketurunan Quraisy.
Beliau ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad.

Beliau ialah suami Fatimah bin Muhammad dan juga
pemuda pertama yang memeluk Islam.

Nabi Muhammad menggelarkannya Zulfiqar sempena
nama pedang Sayyidina Ali yang megah bermata cabang.
Pada mulanya pedang itu adalah milik Rasulullah SAW.
Beliau juga mendapat gelaran Asadullah yang
bermaksud Singa Allah.

Ali meninggal dunia pada 40 Hijrah kerana ditikam oleh
Abdul Rahman bin Muljam iaitu salah seorang
daripada golongan Khawarij.


........................................................................................................

Ada kisah menarik yang dapat dikongsikan mengenai sikap
Sayyidina Ali yang amat mementingkan TOLERANSI.

Pernah Khalifah Ali kehilangan sepasang pakaian perang.
Puas beliau mencarinya tetapi masih tidak jumpa juga
pakaian perang tersebut.

Sehinggalah pada suatu hari Khalifah Ali ternampak seorang
lelaki Nasrani memakai pakaian perang itu.

Ali dapat mengecam pakaian perang itu
benar-benar merupakan miliknya.

“Tahukah kamu, pakaian perang yang kamu pakai itu
adalah milik saya,”

kata Ali kepada orang Nasrani itu.

“Pakaian perang itu milik saya,” ulang Ali lagi.

“Tidak. Pakaian perang ini adalah milik saya,”
jawab orang Nasrani itu.

Ali tidak berputus asa lalu berkata,

“Serahkan semula pakaian perang itu kepada saya.
Sudah lama saya mencari pakaian perang itu”.

“Tidak. Saya tidak mahu serahkan pakaian perang ini kepada kamu,”
kata lelaki Nasrani itu.

Lelaki Nasrani itu tetap dengan pendiriannya.
Beliau tidak mahu menyerahkan pakaian perang itu
walaupun sudah berkali-kali di minta oleh Ali.

“Sekiranya begitu kata kamu, mari kita pergi ke mahkamah.
Di sana, pihak pengadilan dapat menentukannya,” kata Ali.

“Baik, saya setuju. Mari kita pergi berjumpa dengan tuan hakim,”
jawab lelaki Nasrani itu.

Kemudian, mereka berjumpa dengan hakim yang bernama
Qadhi Syuraih.

Beliau adalah seorang hakim yang adil dan bijaksana.
Sampai sahaja di mahkamah itu,
Ali berkata kepada tuan hakim,

“Saya tidak pernah memberikan pakaian perang itu
kepada orang lain.

Saya rasa pakaian perang yang dipakai oleh lelaki Nasrani itu
adalah milik saya.
Saya dapat mengenali pakaian perang tersebut”.

Mendengar penjelasan Ali,
hakim menyoal pula orang Nasrani itu,

“Adakah benar seperti yang dikatakan oleh Ali tadi?”

Lelaki Nasrani itu menjawab,

“Pakaian perang itu milik saya”.

Lelaki Nasrani itu masih tetap dengan pendiriannya
menyatakan pakaian perang itu miliknya.

Tuan hakim menjalankan tugasnya dengan adil.
Bagi mendapatkan kepastian,
tuan hakim bertanya pula kepada Ali,

“Bolehkah kamu berikan bukti?
Bukti yang menunjukkan bahawa pakaian perang itu
milik kamu dan bukan milik lelaki Nasrani itu”.

Tuan hakim itu memang seorang yang adil dan bijaksana.
Ali berkata,

“Saya tidak mempunyai sebarang bukti”.

Keputusan mahkamah dibuat.
Orang Nasrani itu tidak bersalah.

“Saya memutuskan bahawa pakaian perang itu adalah
milik orang Nasrani dan bukan milik Ali,” kata tuan hakim.

Keputusan mahkamah adalah muktamad.
Ali dan orang Nasrani itu keluar daripada persidangan mahkamah.
Di luar kawasan mahkamah, lelaki Nasrani itu berjumpa Ali.

“Keputusan yang dijatuhkan oleh tuan hakim adalah muktamad.
Tuan hakim hanya menjalankan tugasnya dengan seadil-adilnya.
Kamu memang seorang yang jujur dan sabar.

Mulai pada hari ini, saya mengaku bahawa tiada tuhan yang
disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu
adalah pesuruh Allah,”

kata orang Nasrani itu di hadapan Ali.

Ali terkejut. Kemudian Lelaki Nasrani itu menceritakan
kisah sebenar mengenai pakaian perang yang dipakainya itu.

“Pakaian perang ini saya terjumpa ketika kamu pergi ke
Perang Siffin.

Pakaian perang ini terjatuh daripada kenderaan yang kamu naiki.
Lalu saya mengambil pakaian perang itu.

“Saya pakai pakaian perang ini dan menjadi milik saya.
Tetapi sekarang pakaian perang ini bukan milik saya lagi.
Pakaian perang ini adalah milik kamu.
Ambillah,”

kata lelaki Nasrani itu.

Mendengar penerangan lelaki Nasrani itu,
Ali kagum dengan sikapnya yang jujur itu.

Kemudian Ali berkata kepada lelaki Nasrani itu,

“Kamu memang seorang yang jujur.
Sekarang kamu sah menjadi orang Islam.
Ambillah pakaian perang ini.

“Saya beri pakaian perang ini kepada kamu.
Sekarang pakaian perang ini sah menjadi milik kamu”.

Demikianlah sikap jujur, amanah dan suka bertoleransi
di antara satu sama lain.

Sikap bertoleransi, jujur dan amanah terhadap orang lain
akan mendatangkan kebaikan dan
kesejahteraan di kalangan manusia sejagat.
Sunday, April 24, 2011

Khasiat Surah Al-Fatihah





Nabi Muhammad SAW
pernah bersabda yang bermaksud:

"Membaca Fatihah Al-Quran
pahalanya seperti membaca
sepertiga Al-Quran"

Juga Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Surat Al-Fatihah adalah untuk apa
ia maksudkan dalam bacaannya."

dan

"Fatihah itu pembukaan maksud
bagi orang-orang mukmin."




Sekadar artikel yang ringkas..
Saya berminat nak kongsi dengan semua..
berkenaan Fadhilat dan Khasiat Surah Al-Fatihah
dan cara mengamalkannya..

Saya dapat tahu berkenaan kelebihan Surah Al-Fatihah
ini melalui ceramah Ustaz Kazim Al-Hafiz.

Berikut merupakan kefahaman saya dari apa yang
beliau sampaikan...


.................................................................................



Menurut Ustaz Kazim,
Surah Al-Fatihah ini sebenarnya banyak
fadhilat dan kelebihan..

Beliau memberi contoh satu kaedah untuk mengamalkannya..


Dalam sehari,
khatamkan membaca Surah Al-Fatihah sebanyak 70 kali..


tak kisahlah sewaktu dalam kelas ke..
sewaktu dalam kereta ke..
sewaktu tengah masak nasi ke..

jangan baca dalam bilik air sudah..

Kemudian, niatkan bacaan al-Fatihah itu..

nak lulus periksa ke..
nak minta Allah buka hati kita ke..
nak minta Allah buka hati kawan kita ke..
nak minta ubah perangai kita ke..

minta kepada Allah..
Insya Allah, Allah akan bantu selesaikan masalah kita...


Satu lagi kaedah (yang lebih mudah),

sebelum minum air masak (bebas dari campuran apa-apa)..
Baca Al-Fatihah 7 kali..

kemudian niat dalam hati apa permintaan kita..

yang penting!!!
MINTA KEPADA ALLAH..
jangan minta dengan yang lain..


Dengan izin ALLAH, kita akan nampak kesannya..

Selamat Mencuba!!



"Dengan nama Allah,
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Segala puji tertentu bagi Allah,
Tuhan yang Memelihara dan
Mentadbirkan sekalian alam.

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Yang Menguasai pemerintahan
hari Pembalasan (hari akhirat).

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah
dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah
kurniakan nikmat kepada mereka,
bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai
dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat."

Al-Fatihah: 1-7
Saturday, April 16, 2011

Berpegang teguhlah!





"Adakah patut kamu menyangka bahawa
kamu akan masuk Syurga,

padahal belum sampai kepada kamu
(ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku
kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?

Mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit,
serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh),

sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman yang ada bersamanya:

Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."


Al-Baqarah: 214



OK.

Ada satu cabaran yang saya ingin berikan kepada kawan-kawan..

yang pastinya..
Ini bukan rancangan "Anda Ada 60 Saat!"..
hehe..

Cabarannya ialah..

Cuma ambil sebuah cawan kaca..
tak kisah la kecik ke besor.

Kemudian, pegang cawan kaca itu dengan hanya menggunakan
DUA JARI!

Bertahan selama 10 minit.

No cheating cheating!
pegang dengan dua jari sahaja..

Ok.. bertahan dan terus bertahan..



oh, saya dah mula dengar suara orang mengeluh...


"Aaarrgghh.. lenguhlah..."


......................................................................................





Sebenarnya apa yang membuatkan kita lenguh?

Ya.
Semestinya kita akan menyalahkan DUA JARI..

Namun hakikatnya..

Saya baru suruh anda pegang 10 minit..
belum 24 jam.
Belum seminggu.
Belum setahun!!

Agak-agak kalau saya suruh anda pegang cawan kaca itu dengan dua jari..
selama SETAHUN..

larat tak??

Saya yakin..
Anda tidak akan mampu dan akan menghempas cawan itu sehingga berkecai
sambil berkata...

"Kenapa la aku wat keje bodoh ni??!!"


Kenapa?
Kerana kita memang tidak mampu.


.................................................................................






OK.
Kita tukar cabaran..

Masih lagi bermain dengan cawan kaca..

Kali ini bukan lagi dua jari..
Pegang cawan tu dengan KEDUA-DUA BELAH TANGAN kita..

selama 10 minit.

Pasti akan ada yang ketawa..

"haha.. kalau macam ni atuk aku pun boleh buat!"

kerana apa?
kerana cabarannya mudah..

Tidak melenguhkan..
tidak pula membebankan...


Persoalannya, apakah yang membezakan cara memegang dengan
DUA JARI dan cara memegang dengan KEDUA-DUA BELAH TANGAN?

Jawapannya ialah KEKUKUHAN yang membezakan..

Cawan kaca..
jika kita pegang dengan kedua belah tangan..
Kita pegang dengan erat..

Buatlah macam mana pun..
orang langgar kita ke..
Orang nak ambil cawan itu ke..

pastinya susah cawan itu akan beralih..
dan kita pasti dapat melindungi cawan itu dengan selamat..

Kalau kita pegang dengan dua jari??

Aaaahh..
Mudah sahaja untuk dirampas..
Mahu sahaja orang langgar kita..
Habis jatuh berkecai cawan itu...


Kemudian kita akan mengulang jawapan yang sama..

"Kenapa la aku wat keje bodoh ni!!??"

sambil menambah satu lagi ayat...

"nampaknya kena la beli cawan kaca baru.."


dan itulah yang membezakan kaedah itu..


Ok. cukup sekadar ini permainannya..
apa yang saya mahu sampaikan ialah.....


.......................................................................................................





"Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah
dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini,

maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya
(yang khas iaitu Syurga) dan limpah kurniaNya
(yang tidak terkira) dan Allah akan menunjukkan
mereka ke jalan yang lurus (jalan agama Islam),
yang membawa kepadaNya."


An-Nisa: 175




Begitu jugalah yang perlu kita praktikkan pada ISLAM.

Kita tidak boleh pegang Islam dengan pegangan yang lemah..
Kita mesti berpegang teguh dengan Islam..

berpegang teguh dengan pegangan yang sebenar..
pegangan yang erat..
dan tidak mampu lagi digugat..

Namun..

Apabila kita pegang Islam dengan pegangan yang tidak kukuh...

Akhirnya kita mudah sangat nak merungut..


"susah la nak ikut perintah Tuhan..."

"susah la nak ikut apa yang Rasulullah buat.."

"susah la nak solat..."

"Susahlah! susahlah! susahlah!"


Kenapa? kerana kita gagal berpegang teguh..
Kita tak sungguh-sungguh berpegang dengan Islam..

Apabila "pegangan" Islam itu sendiri sudah lemah..
Bagaimana nak rasa manis jalankan perintah Allah?

Bagaimana nak rasa manis dalam solat?

Bagaimana nak rasa manis dalam mengikut sunnah Rasulullah?

Kembali semula bagaimana kita pegang Islam kita..

Kukuh... atau lemah?


......................................................................






"Maka berpeganglah dengan sunnahku
dan sunnah Khulafa Ar-Rasyidin.
Berpeganglah dengannya dan
gigitlah ia dengan gigi geraham......"

~Rasulullah SAW~




Oleh itu, kita perlu hargai Islam kita.

Jika ada lagi perkataan selain "berpegang teguh"..

maka kalian peluklah, dakaplah, genggamlah Islam seerat
yang mungkin..

kerana itulah pembeza kita dengan orang kafir.

Itulah nilai kita untuk ke syurga..

dan yang paling penting..
disitulah jatuhnya pandangan RAHMAT Allah
kepada kita..

Maka apa yang lebih berharga dari itu?

oh, tidak ada..

maka berpegang teguhlah kita dengan Islam...
pedulilah "apa kata orang"...
pedulilah "bisikan-bisikan" yang jahat itu..

asalkan kamu masih Islam..
dan Islam berada kemas dalam dakapanmu..


Ingat kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha...??
Jadikanlah ia contoh..

Moga kita terus berpegang teguh!



"(Zulaikha) berkata:

"Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya!
Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya (Nabi Yusuf)
tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya;

dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu
melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan,
dan akan menjadi dari orang-orang yang hina."

Yusuf: 32
Sunday, April 10, 2011

Musibah.. Kini Aku Muhasabah!





“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan
(atau bala bencana),

maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan
(dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa);
dan (dalam pada itu) Allah memaafkan
sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

Ash-Shura: 30



Pagi itu, kami semua benar-benar mengantuk.

Aku, Luqman dan Farhan baru sahaja selesai menunaikan
solat fardhu Subuh.

Selesai solat Subuh,

seperti biasa Luqman menghantarku pulang dengan "kereta Waja" nya..

Aku yang mengambil tempat duduk di belakang
masih tidur-tidur ayam..

Mengantuk yang amat.

Baru nak menikmati kelazatan mimpi,
kereta empat roda ini sudah tiba di perkarangan rumahku di Iris Apartment...

Ok..
Sudah tiba di hadapan blok H..
Blok yang aku diami..

kemudian.........


"Baaaaannngggg!!!!!!!!!!"

Kepalaku terhantuk dengan kerusi pemandu di hadapan.
Luqman pula terhantuk dengan stereng kereta.
Farhan pula yang dari tadi menghadap telefon bimbit turut tersentak.


"woi.. apa hal tu!!??"

"ya Allah.. kau langgar ape man??!"

Rupa-rupanya kereta Waja yang dipandu Luqman telah melanggar
pili bomba di sebelah blok H sewaktu dia cuba membelok diselekoh.

Kami bergegas keluar dari kereta..

Aaaahh!!!

Habis kemek pintu kereta dibahagian pemandu.
pili bomba pula agak terkeluar sedikit dari tapaknya..

Luqman masih memegang kepalanya..
Katanya pening..

Ya Allah! benjol juga kepalanya!

Beberapa orang pakcik mula datang menghampiri kami..
Ingin melihat apa yang telah terjadi..
Dari cara mereka berpakaian, mereka baru sahaja pulang dari surau.

Ya Allah! ujian apa kali ini??!

Astaghfirullahal 'azim........

Dipendekkan cerita,
kereta Luqman terpaksa dihantar ke bengkel..

Menurut Luqman, kos membaiki hampir RM2000!

Allahu akbar.
Inikah ujian yang perlu dia hadapi?



...................................................................................................




"Tiap-tiap diri akan merasai mati
dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan
kesenangan sebagai cubaan dan kepada
Kamilah kamu semua akan dikembalikan."

Al-Anbiya: 35



Waktu kejadian itu berlaku,
dalam kepala aku tiada benda lain yang mampu difikirkan
selain perkataan "MATI".


Bagaimana jika saat itu yang Allah pilih untuk
menarik nyawaku?

Ya Allah! dosa aku banyak..
Adakah mati mengejut yang Engkau mahu tetapkan padaku??

Aku benar-benar risau akan diriku...


Sungguh ya Allah..
aku berlindung dari semua itu.


"Ya Allah,

matikanlah aku dalam husnul khatimah (mati yang baik)..
Jangan Kau matikan aku dalam su'ul khatimah (mati yang buruk)..."

Amin!


..........................................................................





"Demi sesungguhnya!
Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi)
dengan pengetahuan yang yakin,

(tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara
yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat)."

At-Takathur: 5



Sememangnya kita tak akan dapat lari dari
apa yang dikatakan sebagai MATI.

Semua manusia pasti akan merasainya..

Dan sewajarnya bagi setiap orang yang beriman..
Mati itu satu tragedi yang perlu dirindui..
bukan ditakuti..

kerana itu sahaja syarat untuk kita berjumpa
dengan pencipta kita..

Allah Subhanahu wa Ta'ala..

Itu sahaja syaratnya.
selagi tidak mati,

jangan bermimpi untuk melihat Allah,

jangan bermimpi untuk melihat apa yang dikatakan nikmat
atau azab kubur,

jangan bermimpi untuk menyaksikan suasana yang dikatakan
sebagai hari akhirat,

jangan bermimpi untuk mengecapi tempat nikmat
abadi yang dipanggil syurga!


Namun persoalannya...
Apa yang kita persiapkan untuk menghadapi mati itu sendiri?

Kita nak jumpa Allah..
Kita nak rasa nikmat kubur..
Kita nak jumpa Rasulullah..
Kita nak pergi syurga..

Tapi..
Apa yang telah kita persiapkan untuk mengecapi semua itu?

Setandingkah diri kita ini..
untuk mendapatkan semua itu?

Tepuk dada, tanya IMAN kita.

Memang..
mati itu perlu dirindui..

Namun rindu sahaja tidak cukup..
Jika kita masih tidak melakukan apa-apa untuk menghadapinya..

Dosa masih dilazimi..
Maksiat tak pernah henti..

Apa bekalan kita sebenarnya untuk menghadapi hari selepas mati itu?


"Dan kamu tidak menghiraukan
(bekalan untuk) hari akhirat
(yang kekal abadi kehidupannya)."

Al-Qiyamah: 21


...............................................................................................





"Sebenarnya,
bahawa Allah mengetahui akan apa yang
mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan;

sesungguhnya Dia tidak suka kepada
orang-orang yang sombong takbur."

An-Nahl: 23



Sekaligus musibah yang Allah timpakan itu..
menjadi muhasabah yang amat bermakna buat diriku..

Kita ini manusia yang sombong..
Berlagak hero dimuka bumi Allah..

Sekali Allah timpakan musibah..
Allah minta kita tundukkan kepala merendah diri..
Kerana bumi ini Allah yang punya!

kita siapa mahu berlagak sombong..
berlagak pandai dihadapan orang ramai..

cermin diri kita.
Siapa diri kita sebenarnya..

Kita ini manusia yang tak terlepas dari melakukan dosa..

Namun berlagak suci..
berlagak gangster di tengah-tengah masyarakat..
Berbangga pula dengan dosa yang dilakukan!

Sekali Allah timpakan musibah..
Allah minta kita sedar siapa diri kita..

Allah minta kita tundukkan kepala kita..
tadah tangan..
banyak menangis..
mohon ampun dan taubat kepada-Nya..

Kerana kita manusia lemah.
Kita tidak ada apa-apa..

Oleh itu,
kita perlukan Allah SWT..

Musibah.. kini aku muhasabah!



"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana)
yang ditimpakan di bumi,

dan tidak juga yang menimpa diri kamu,
melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami)
sebelum Kami menjadikannya;

sesungguhnya mengadakan yang demikian itu
adalah mudah bagi Allah.

(Kamu diberitahu tentang itu)
supaya kamu tidak bersedih hati
akan apa yang telah luput daripada kamu,

dan tidak pula bergembira
(secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan
kepada kamu.

Dan (ingatlah),
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang
yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

Al-Hadid: 22-23
Tuesday, March 29, 2011

Iman atau Kasih Ibu?




Alhamdulillah.
Allah beri peluang pada saya kali ini untuk
menghayati kisah seorang sahabat nabi yang sangat terkenal
dan mengagumkan.

Awalnya kisah ini ditulis dalam versi Indonesia melalui
"naqshbandiyun.blogspot.com".

Namun saya pindahkan bahasanya ke versi Bahasa Melayu.

Saya kongsikan dengan kawan-kawan..
Semoga kita beroleh manfaat dari kisah beliau. :)


.........................................................................................................





Malam semakin larut. Seorang pemuda bernama Saad bin Abi Waqas
masih dirundung cemas apabila dia terjaga dari tidurnya.
Beliau telah bermimpi perkara yang amat mengejutkan sehingga
habis seluruh badannya dibasahi peluh.

Di dalam mimpinya itu, Saad bin Abi Waqas merasakan bahawa dia
sedang diselubungi kegelapan, ketakutan dan kebimbangan.
Saat menyesakkan itu benar-benar menggundahkan hatinya.

Dalam keadaan yang demikian dahsyat itu, tiba-tiba dia melihat
sinaran cahaya dari langit yang terang-benderang.

Dalam sekelip mata, dunia yang tadinya gelap kini
diterangi oleh cahaya itu.

Cahaya itu menyinari seluruh penjuru bumi.
Sinar cahaya itu hadir bersama tiga orang lelaki.

Apabila diamati lelaki-lelaki itu,
Sa'ad yakin dan pasti bahawa mereka ialah:

Ali bin Abi Talib,
Abu Bakar bin Abi Quhafah
dan Zaid bin Haritsah.



..............................................................................................




(gambar hiasan)


Sejak beliau bermimpi sedemikian rupa,
matanya tidak mampu dipejamkan lagi.

Dia termenung keseorangan dibiliknya sambil memikirkan
apa maksud mimpi yang dialaminya itu dan
apa sebenarnya mimpi itu cuba beritahu kepada dia.

Sudah beberapa hari peristiwa itu berlalu
namun Saad masih belum menemukan jawapannya.


Di waktu pagi yang cerah, seperti biasa Saad bin Abi Waqas
duduk bersama ibunya untuk bersarapan.

Pagi itu, Saad banyak mendiamkan diri. Tetapi itu bukanlah perkara
yang aneh kerana Saad sememangnya seorang yang pendiam dan
merupakan anak yang patuh dan taat terhadap ibunya.

Baginya apa yang lebih penting ialah membahagiakan
ibunya yang telah membesarkannya dari kecil hingga dewasa.
Bukannya membuatkan hati
ibunya risau tentang keadaan dirinya.

Pekerjan Sa’ad adalah membuat tombak dan lembing
yang diruncingkan untuk dijual kepada
pemuda-pemuda Makkah yang suka berburu.

meskipun ibunya terkadang melarangnya
melakukan pekerjaan ini,
namun Sa'ad tetap tidak berganjak dari kerjayanya.


Ibu Sa’ad bernama Hamnah binti Suyan bin Abu Umayyah.
Beliau adalah seorang wanita hartawan keturunan
bangsawan Quraisy yang memiliki wajah cantik dan anggun.

Disamping itu, Hamnah juga seorang wanita yang terkenal
cerdik dan memiliki pandangan yang jauh.

Hamnah sangat setia kepada agama nenek moyangnya,
iaitu menyembah berhala.



.........................................................................................................





Tiba pada suatu hari, segala rahsia mimpi
yang dialami akhirnya terjawab.

Ketika itu, Abu Bakar mendatangi Sa'ad di tempat kerjanya
dengan membawa berita bahawa telah diutuskan seorang nabi
membawa agama suci iaitu Muhammad SAW.

Lalu Sa’ad bertanya, siapakah orang-orang yang
telah beriman kepada Muhammad SAW,

Abu Bakar segera menjawab:

dirinya sendiri, Ali bin Abi Thalib r.a., dan Zaid bin Haritsah.
Yakinlah, Muhammad mengajak kita menyembah Allah yang Esa,
dan menyebarkan
rahmat ke seluruh alam.

Berita ini telah mengetuk pintu hati Sa’ad untuk berjumpa
dengan Rasulullah sekaligus menyatakan keimanannya.

Kalbu Sa'ad telah disinari cahaya iman,
meskipun usianya waktu itu baru menginjak tujuh belas tahun.

Sa’ad termasuk dalam deretan lelaki pertama yang memeluk Islam selain
Ali bin Abi Thalib r.a., Abu Bakar r.a. dan Zaid bin Haritsah
.

Cahaya agama Allah yang memancar ke dalam kalbu Sa’ad
sudah terlalu kuat, meskipun ia mengalami ujian yang sangat berat
untuk memeluk agama Allah ini.


.......................................................................................................




Diantara ujian paling berat perlu Sa'ad hadapi adalah ibunya sendiri.
Ibunya masih belum terbuka hatinya untuk menerima
hidayah dan memeluk Islam.


Sejak memeluk Islam, Sa'ad sering melaksanakan solat
secara sembunyi di kamarnya.
Namun sampai pada suatu saat,
ketika Sa'ad sedang bersujud kepada Allah,
secara tidak sengaja ibu yang belum mendapat
hidayah dari Allah ini melihatnya.

Dengan nada sedikit marah, Hamnah bertanya :

"Sa'ad, apakah yang sedang kau lakukan ?"

Ketika itu Sa'ad masih belum menyelesaikan solatnya.
Dia tampak khusyuk dan tenang sekali.

Setelah selesai menunaikan solat, Sa'ad lantas menghadap ibunya
seraya berkata dengan lembut.

"Ibuku sayang, anakmu tadi bersujud kepada Allah Yang Esa,
Pencipta langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya."

Mendengar jawaban anaknya, sang ibu mulai naik darah dan berkata :

"Rupanya engkau telah meninggalkan agama nenek moyang kita,
Tuhan Lata, Manata dan Uzza. Ibu tidak rela wahai anakku.
Tinggalkanlah agama itu dan kembalilah kepada agama nenek moyang kita
yang telah sekian lama kita anut".

"Wahai ibu, aku tidak dapat lagi menyekutukan Allah.
Dia-lah Dzat Yang Tunggal, tiada yang setara dengan Dia,
dan Muhammad adalah utusan Allah
untuk seluruh umat manusia..."

Jawab Sa'ad.

Kemarahan ibunya semakin menjadi-jadi apabila Sa’ad tetap berkeras
untuk setia dengan keimanannya.

Oleh kerana itu, Hamnah tekad tidak akan makan dan minum
sehingga Sa’ad kembali taat memeluk agamanya semula.

Sehari telah berlalu, ibu ini tetap tidak mahu makan dan minum.
Hati Sa’ad merintih melihat ibunya tetapi keyakinannya
terlalu mahal untuk dikorbankan.

Sa'ad datang memujuk ibunya dengan mengajaknya
makan dan minum bersama,
tapi ibunya menolak dengan harapan agar Sa’ad kembali
kepada agama nenek moyangnya.


Kini Sa’ad makan sendirian tanpa ditemani ibunya.

Hari kedua pun telah berlalu, ibunya tampak letih,
wajahnya pucat-pasi dan matanya cekung.

Si ibu kelihatan lemah sekali.

Tidak ada sedikitpun makanan dan minuman yang dijamahnya.
Sa’ad sebagai seorang anak yang mencintai ibunya bertambah sedih
dan terharu sekali melihat keadaan Hamnah yang demikian.

Malam berikutnya, Sa’ad kembali memujuk ibunya
supaya menjamah makanan.

Namun ibunya adalah seorang wanita yang berpendirian tegas.

Dia tetap menolak ajakan Sa’ad untuk makan bahkan dia
kembali merayu Sa’ad agar menuruti perintahnya semula.

Tetapi Sa’ad tetap pada pendiriannya,
Sa'ad tak tergamak menjual agama dan keimanannya
kepada Allah dengan sesuatupun, sekalipun dengan
nyawa ibu yang dicintainya.

Imannya telah membara, cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya
telah teramat dalam.


........................................................................................................






Di depan matanya ia menyaksikan keadaan ibunya
yang menyedihkan hatinya,
namun dari lidahnya keluar kata-kata pasti yang
membingungkan lbunya.

"Demi Allah,
ketahuilah wahai ibundaku sayang,
seandainya ibunda memiliki seratus nyawa lalu ia keluar satu persatu,
tidaklah anakanda akan meninggalkan agama ini
walau ditebus dengan apa pun juga.

Maka sekarang, terserah kepada ibunda,
apakah ibunda akan makan atau tidak".

Pendirian yang diucapkan anaknya membuatkan ibu Sa’ad bin Abi Waqqas
terkejut seketika.

Akhirnya dia mulai mengerti dan sedar bahawa anaknya
telah memegang teguh akan keyakinannya.

Untuk menghormati ibunya, Sa’ad kembali mengajaknya untuk makan dengannya. Disebabkan ibu ini terlalu lapar dan telah memaklumi pula
bahawa anak yang dicintainya tidak akan mundur setapak pun
dari agama yang dianutinya,
maka ibu Sa’ad mundur dari pendiriannya dan
memenuhi ajakan anaknya untuk makan bersama.

Alangkah gembiranya hati Sa’ad bin Abi Waqqash. Ujian iman ternyata
dapat diatasinya dengan ketabahan dan memohon pertolongan Allah.

Keesokan paginya, Sa’ad pergi menuju ke rumah Rasulullah SAW.
Sewaktu Sa'ad berada di tengah majlis Nabi SAW,
turunlah firman Allah yang menyokong pendirian Sa’ad bin Abi Waqqas:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan
(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya)

dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;
(dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu;
dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau
mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau
dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya

maka janganlah engkau taat kepada mereka
dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik
dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu
(dengan tauhid dan amal-amal yang soleh).

Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya,
maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan."

Luqman: 14-15



Demikianlah keimanan Sa’ad bin Abi Waqqas kepada Allah dan Rasul-Nya
telah mendapat keredhaan Ilahi.

Al-Qur’an telah mengabadikan peristiwa itu menjadi pedoman
buat kaum Muslimin.

Sa'ad juga merupakan salah seorang sahabat nabi yang mudah
mengalirkan air mata.

Beliau juga diberi keistimewaan oleh nabi bahawa doa yang
diucapkan akan dimakbulkan Allah.
Setiap kali Sa'ad mendoakan kejayaan umat Islam,
Allah pasti mengabulkan doanya.


Pada suatu hari, ketika Rasulullah SAW sedang duduk
bersama para sahabat,

tiba-tiba baginda menatap ke langit seolah-olah
mendengar bisikan dari malaikat.


Kemudian Rasul kembali menatap kepada sahabatnya dengan berkata :

"Sekarang akan ada di hadapan kalian seorang lelaki dari penghuni syurga".

Mendengar ucapan Rasulullah SAW, para sahabat menoleh ke
kanan dan ke kiri pada setiap arah untuk melihat siapakah
gerangan lelaki berbahagia yang menjadi penghuni syurga.


Tidak lama kemudian, datanglah lelaki yang ditunggu itu.

Dialah Sa’ad bin Abi Waqqas.


Disamping terkenal sebagai anak yang berbakti kepada orang tua,
Sa’ad bin Abi Waqas juga terkenal dengan keberaniannya dalam
peperangan membela agama Allah.

Ada dua fakta penting yang disebut-sebut orang sehingga ke hari ini.

Pertama, Sa’ad adalah orang yang pertama melepaskan anak panah
dalam membela agama Allah dan juga orang yang
mula-mula terkena anak panah.


Dan yang kedua, Sa’ad adalah satu-satunya manusia yang dijamin
oleh Rasulullah dengan jaminan kedua ibubapa Nabi SAW.


Bersabda Nabi SAW ketika perang Uhud sedang hangat berlangsung:

"Panahlah hai Sa’ad ! Ayah ibuku menjadi jaminan bagimu”.

Sa’ad bin Abi Waqqas menyertai hampir semua peperangan bersama Rasulullah.
Sejarah mencatatkan hari-hari terakhir Panglima Sa’ad bin Abi Waqqas ialah
ketika beliau memasuki usia 80-an.

Dalam keadaan sakit Sa’ad bin Abi Waqqas berpesan kepada para
sahabatnya agar dia dikafani dengan jubah yang digunakannya
dalam perang Badar iaitu perang kemenangan pertama
untuk kaum muslimin.


Pahlawan perkasa ini telah menghembuskan nafas yang terakhir
dengan meningalkan kenangan indah dan nama yang harum.

Ia dimakamkan di pemakaman Baqi’, makam para Syuhada.

p/s: ya Allah.. Kau rahmatilah ummi.. dan kau berilah aku kekuatan untuk
mentaati ummi.. sungguh, aku sayang ummi.. dan tidak ada sesiapa yang
boleh menggantikan ummi. ummi dunia akhirat. :')

VIEWS METER

About Me

My Photo
ajwadaie
Muhammad Ajwad bin Amaluddin dilahirkan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 14 Julai 1994. Anak kedua dari empat adik beradik ini membesar disana dan kemudiannya telah berpindah ke Saujana Utama, Sungai Buloh sewaktu umurnya menjejak 10 tahun. Mendapat pendidikan awal di SK Sungai Penchala, KL dan di SK Saujana Utama, Sg Buloh. Kemudiannya meneruskan pengajian sekolah menengahnya di SMK Saujana Utama, Sg Buloh. Kini beliau telah menyambung pengajian di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya dalam bidang Sains Kemanusiaan. Mula menulis blog pada pertengahan tahun 2010 setelah mendapat dorongan dari bapanya yang juga merupakan artis dan pendakwah terkenal, Ustaz Amal. Melalui moto inspirasi, "Kembali Pada-Mu", beliau tekad meneruskan hidup sebagai seorang blogger hanya untuk mencari Redha Allah SWT.
View my complete profile

Followers

Popular Posts

Powered by Blogger.

Halwa Telinga