Friday, February 17, 2012

Aku Masih Hidup!






Rasulullah SAW bersabda: “Dunia ini adalah (umpama) penjara kepada seseorang mukmin dan syurga buat orang kafir”.

(Hadith Riwayat Imam Muslim).



"Kenapa aku masih hidup?"

Persoalan yang kadangkala tercetus spontan dalam fikiranku. Persoalan ini jauh sekali untuk menzahirkan rasa tidak bersyukur atau sebagainya. Cuma aku sendiri suka mengorek hikmah disebalik peluang 'hidup' yang masih Allah berikan kepadaku. Sehingga sekarang, aku masih hidup dan masih diberi kekuatan untuk menghadap notebook dan menaip artikel kali ini.

Kenapa ya?



Mungkin...

Bangun pagi, lihat jam di telefon bimbit.

"Pukul 7??!!!"

Kelam kabut berlari ke bilik air dan mengambil wudhuk sekadarnya. Solat Subuh sengaja dipendekkan takut telah melanggar zon waktu Subuh walaupun hakikatnya solat Subuh itu sudah sedia ada 'pendek' (dua rakaat)! Selesai memberi salam, aku termangu di atas sejadah.

"Apa nak jadi aku ni...."

Subuh terlewat lagi. Walaupun alarm di telefon bimbit sudah di'set'kan untuk berbunyi hampir setiap setengah jam! Namun itulah aku, masih 'kematian' dibuai tidur. Bila difikir-fikirkan, di mana puncanya : TIDUR LEWAT. Mengeluh aku sendirian. Esok berazam untuk tidur awal dan bangun awal. Berazam nak berjemaah di surau. Namun 'keazaman' itu bertahan untuk beberapa hari sahaja. Kemudian tabiat lama berulang lagi.

Aku hina diri sendiri.

"Untuk apa kau hidup?"

Ingin dipaksa menangis, hati sudah keras dihempap 'subuh gajah'. Akhirnya diri ini hanya mampu berdoa kepada Allah semoga diberi kekuatan. Pernah juga berdoa dengan satu doa yang pelik.

"Ya Allah! Campakkan aku di satu daerah yang sunyi, tak ada orang. Biar diri ini rasa betapa susahnya hidup dan biar diri ini belajar bagaimana untuk berjuang dalam beribadat!!"

Aku sendiri pun tak faham apa makna doa ini. "Jiwa kacau".



Allah masih sayang

Muhasabah punya muhasabah, ternyata Allah itu masih sayang. Masih beri peluang untuk celik di pagi hari. Masih beri peluang untuk perbaiki diri. Masih beri peluang untuk muhasabah diri. Seakan-akan Allah berkata kepada diri ini:

"Jangan putus asa. Teruslah berusaha dan bertaubatlah kepadaKu!"

Ya Allah, maafkanlah atas kelemahan hamba. Tidak aku tahu ke mana hala tuju hidupku tanpa pedoman cinta-Mu, ya Allah. Bantulah aku menghadapi beratnya dunia. Permudahkanlah aku dalam berbuat amal menuju ke akhirat sana.

Ya Allah, perkenankanlah!


"Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Al-A'raf: 153



Kamu Masih Hidup

Ya. Aku masih hidup. Ternyata Allah masih memberi peluang untuk aku melakukan sesuatu. Ya, lakukan sesuatu! 24 jam sehari, maka berusahalah sehabis mungkin seolah-olah kamu ingin mati pada keesokan harinya!

Lemah? Ah! Itu bukan lagi alasan. Jika kamu jatuh, bangun semula. Bangkit semula mendekati Tuhan. Terkadang kamu berusaha memperbaiki diri, tetapi kamu terlupa untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Rasa keseorangan? Cari rakan yang baik.

Sabda Baginda bermaksud: "Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa."

[Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]


Minta bantuan darinya untuk sama-sama memperbaiki diri. Jangan malu untuk menerima teguran darinya. Kerana dia juga manusia yang masih memerlukan teguran dari sesiapa sahaja. Orang yang bijak itu akan menerima teguran (ilmu) walaupun ia datang dari mulut seorang gila!

Rasa kosong? Jangan sesekali meninggalkan majlis ilmu yang diadakan di merata tempat. Terutamanya majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau. Jangan sesekali melupakan majlis ilmu jika mahu mendapat keberkatan hidup di dunia dan melengkapkan persiapan untuk menuju ke akhirat.


Sabda Rasulullah SAW: "Apabila kalian melalui suatu taman syurga, maka hendaklah kalian berhenti. Mereka bertanya: Apakah taman syurga itu, wahai Rasulullah? Baginda SAW menjawab: Majlis-majlis ilmu."

(Hadis riwayat At-Tirimizi)



Pesanan ini untuk aku yang masih hidup. Untuk kamu juga yang masih hidup. Kerana aku tidak tahu, mungkin esok aku pergi dahulu. Mungkin sahaja kalian yang pergi dahulu. Marilah sama-sama kita ambil peringatan. Peringatan itu untuk orang yang hidup, tiadalah berguna peringatan itu untuk orang yang telah mati!


Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Al-Baqarah: 269





0 comments:

VIEWS METER

About Me

My Photo
ajwadaie
Muhammad Ajwad bin Amaluddin dilahirkan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 14 Julai 1994. Anak kedua dari empat adik beradik ini membesar disana dan kemudiannya telah berpindah ke Saujana Utama, Sungai Buloh sewaktu umurnya menjejak 10 tahun. Mendapat pendidikan awal di SK Sungai Penchala, KL dan di SK Saujana Utama, Sg Buloh. Kemudiannya meneruskan pengajian sekolah menengahnya di SMK Saujana Utama, Sg Buloh. Kini beliau telah menyambung pengajian di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya dalam bidang Sains Kemanusiaan. Mula menulis blog pada pertengahan tahun 2010 setelah mendapat dorongan dari bapanya yang juga merupakan artis dan pendakwah terkenal, Ustaz Amal. Melalui moto inspirasi, "Kembali Pada-Mu", beliau tekad meneruskan hidup sebagai seorang blogger hanya untuk mencari Redha Allah SWT.
View my complete profile

Followers

Popular Posts

Powered by Blogger.

Halwa Telinga