Friday, January 6, 2012

Jaga Hati Dia





“Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging,
apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad,
dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad.

Ketahuilah bahawa itu adalah hati.”

Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir.




Menyedari bahawa hidup kita ini ada hati yang perlu dijaga. Hati ibu bapa, hati guru-guru, hati kawan-kawan, hati masyarakat dan semua hati yang dekat dengan kita. Dari sudut lain pula, Setiap seorang daripada hati-hati yang perlu dijaga (yang telah disenaraikan) itu memandang kita dengan cara yang berbeza pula.

Ada orang pandang kita, hatinya rasa tenang. Rasa mudah didampingi. Rasa hendak berkawan. Rasa sesuai menjadi tempat meluahkan masalah. Namun orang lain pula, masih dengan 'objek' yang sama (kita) memandang dengan perasaan yang lain pula. Mungkin pandang sahaja muka kita, rasa meluat, rasa marah, menyampah dan sebagainya.

Bagaimana itu berlaku? Ataupun soalan yang lebih baik:


"Wajarkah di biarkan itu berlaku?"



Menyediakan hati

Saya lebih selesa dengan konsep 'menyediakan hati'. Saya tidak menggunakan istilah 'mengorbankan hati' kerana takut disalah tafsirkan dan sebenarnya lebih untuk mengelakkan tindakan ekstrem walaupun hakikatnya itu hanyalah masalah bahasa. Baik.

Orang yang suka menyediakan hati bagi saya adalah orang yang penuh dengan sifat kasih sayang. Dia sedar dia punya ibu dan bapa. Tanda sayang dia kepada ibu bapa ialah tekadnya dalam hati bahawa dia wajib menjaga hati keduanya. Maka dia mempersiapkan hati sesedia mungkin untuk memastikan tindakannya tidak ada unsur-unsur menyakitkan hati kedua orang tuanya. Lihat, ini adalah ciri-ciri hati seorang anak yang baik.

Namun apabila kita keluar ke rumah, kita akan berjumpa dengan 'komuniti hati' yang lebih besar. Dengan kawan-kawannya, dengan guru-gurunya, dengan ahli suraunya, dengan rakan sekerjanya. Kelompok hati yang sangat ramai. Bagaimana mahu menangani mereka? Ayuh kita berbalik kepada konsep asal. 'Sedia'kan hati kita untuk mereka.

Tatkala bersama rakan-rakan, tukarkan mood 'hati' kita sebagai seorang rakan. Jadilah orang yang banyak mendengar daripada bercakap. Jangan guris hati kawan dengan perkataan-perkataan yang tidak disenanginya. Jangan sentuh soal peribadinya kecuali pada saat yang menyenangkan hatinya. Walaupun ada perkara yang kita suka, elakkan daripada melakukan perkara itu apabila kamu melihat rakan kamu tidak menyenanginya. Ini adalah ciri-ciri hati seorang rakan yang baik.

Apabila bersama dengan guru, tukar 'mood' hati untuk berhadapan dengan guru pula. Begitulah juga dengan individu lain.


"Kenapa sampai begitu sekali? Kena berubah personalitikah jika berhadapan dengan orang yang berbeza?"


Oh! Tidak. Bukan itu pengertiannya. Hanya berpegang pada konsep asal. 'SEDIAKAN HATI'. Itu sahaja. Itu sahaja personaliti yang perlu dikekalkan. Apabila kita menyediakan hati untuk mereka yang kita sayang, lalu personaliti itu akan terbentuk dengan sendirinya. Bukannya personaliti 'lakonan' yang dirancang dan direka-reka.
Ayuh sediakan hati!



Namun hati ini tidak sempurna

Kita perlu akui bahawa hati kita tidak sempurna. Menyedari bahawa hati ini akhirnya milik Allah juga, kita tidak akan dapat mengelak daripada kelemahan dan kekurangan. Memang niat sudah baik untuk menjaga hati dia dan dia, tetapi adakala hati ini perlu 'dibaiki'. Mana tidaknya, Adakala hati ini 'down'. Kadang-kadang jatuh merudum. Semua itu bergantung kepada Allah yang suka memberi ujian, tanda dia sayang akan hamba-hambaNya yang sabar.

Maka kita perlu peka apabila menilai seseorang. Kita kena cepat 'tangkap' bagaimanakah keadaan hatinya pada waktu itu. Adalah satu perangai yang tidak elok apabila kita ini jenis manusia yang hanya mahu terima benda baik sahaja dari orang, sedangkan kita bukan dalam kalangan yang suka memberi! Perangai ini tidak bagus. Kita perlu jadi manusia yang peka terhadap kondisi hati seseorang.

Jika kamu lihat muka dia hari ini muram dan masam, jangan pula kamu mengharapkan kegembiraan darinya. Fahamilah bahawa pada saat itu dia sedang dalam dukacita. Maka pada saat itu, tiba masa kita untuk memegang amanah 'menyediakan hati'. Jadi orang yang banyak mendengar. Banyakkan senyum. Itu lebih baik untuk kondisi hatinya pada waktu itu.

Begitu jugalah apabila suatu masa nanti hati kita pula dirundung duka. Apakah perangai yang sangat mulia pada waktu itu? Bersedia untuk memaafkan. Ya. Itu sangat baik. Maafkan orang-orang disekeliling kita jika pada saat itu kita tidak mampu untuk menggembirakan. Berilah penjelasan tentang keadaan hati kita sejelas mungkin. Hati manusia, siapa jangka.


"Maaf kawan. Hari ini mood tak berapa nak baik. Maaf ya tadi, aku ter'sound' kau pulak."

"Oh tak mengapa. Maaflah jika aku ada buat salah. Salah aku juga tak faham perasaan kau."


Lihat insan-insan yang menyediakan hati dan bersedia untuk menjaga hati orang lain. Yang ada pada mereka hanyalah bahagia. Perkataan 'maaf' bagi mereka bukan pelik, tetapi 'perlu'.



"Bila hati kian suci
Tak ada yang tersakiti
Peribadi menawan hati
Dirimu disegani"

~Snada- Jagalah Hati~




Siapa mahu jaga hati kita?



Kita ini manusia, bukan robot. Manusia disekeliling kita juga adalah 'manusia', seperti kita. Ada waktu kita berada di atas, dan ada waktu di bawah. Ada dalam kalangan mereka di sekeliling kita tidak memahami konsep menjaga hati ini. Bagi mereka semua ini tidak penting. Ada yang mengatakan masalah hati ini masalah picisan, dan tidak perlu pada jalan penyelesaian.

Itu tidak betul! Berapa banyak masalah, krisis dan perselisihan berpunca dari masalah hati. Berpunca daripada ego, dendam, amarah dan sebagainya. Semuanya berbalik kepada hati. Hati yang hakikatnya sudah tidak berfungsi untuk mengasihi sesama manusia. Lalu disini kita bentangkan jalan penyelesaiannya.

Baik. Berbalik kepada tajuk. Pada saat manusia disekeliling tidak berdaya malah tidak mahu menjaga hati kita, siapa mahu jaga hati kita? Maka jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah Allah SWT.

Saya teringat kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di facebooknya.


"Banyak meluahkan perasaan kepada Tuhan, kita kurang mendapat jawapan tetapi banyak mendapat ketenangan. Banyak meluahkan perasaan kepada manusia, kita banyak mendapat jawapan tetapi semakin kurang beroleh ketenangan."


Memang benar. Hakikatnya Allah juga yang amat menenangkan hati. Bercakap dengan Allah walaupun tiada balasan, tetapi beroleh ketenangan yang tidak mampu diungkap.


"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" (mengingati Allah) itu, tenang tenteramlah hati manusia."

Ar-Rad: 28


Biar Allah sahaja yang memujuk hati ini. Dunia ini negara ujian. Tidak sunyi dengan mehnah dan tribulasi. Hati diuji bukan sekali dua, tetapi acapkali malah menyerang dari pelbagai sudut. Disitu perlunya ada hubungan hati dengan Allah yang sangat kuat. Sumber tenaga hati yang tidak putus. Dalam usaha menyediakan hati untuk manusia, jangan melupakan tuntutan untuk bawa hati ini 'bermanja' dengan Allah SWT. Dialah Tuhan kita. Dialah yang menciptakan hati kita. Lalu dimana selayaknya kita serahkan diri dan minta tolong?



"Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada
Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan."

Al-Fatihah: 5

4 comments:

Fiqah kechik said...

hidup itu satu perjuangan...seperti padang bola..munkin dari sudut mata yang meminati bola..mereka melihat bola,pemain dan bilangan gol..tpi pdaku..ia sesuatu perjuangan,kebijaksanaan,dan tabah hadapi segala halangan...manusia tu macam tubuh badan..luka satu anggota...anggota lain juga sakit...pleh itu jaga hati semua kalau nak bahagia...tahniah ajwad...kata2mu penuh dengan kesedaran

Cahaya Petunjuk Nuha said...

Assalam ajwad,
Minta izin share beberapa petikan dr article ini boleh? Kata2 yg sangat berkuasa. Moga kita beroleh ketenangan dan rahmat Allah...

ajwadaie said...

wassalam. Boleh. :)

yatt said...

Salam...izinkan saya juga utk share sdikit kata2 dr artikel d ats t/kasih.

VIEWS METER

About Me

My Photo
ajwadaie
Muhammad Ajwad bin Amaluddin dilahirkan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 14 Julai 1994. Anak kedua dari empat adik beradik ini membesar disana dan kemudiannya telah berpindah ke Saujana Utama, Sungai Buloh sewaktu umurnya menjejak 10 tahun. Mendapat pendidikan awal di SK Sungai Penchala, KL dan di SK Saujana Utama, Sg Buloh. Kemudiannya meneruskan pengajian sekolah menengahnya di SMK Saujana Utama, Sg Buloh. Kini beliau telah menyambung pengajian di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya dalam bidang Sains Kemanusiaan. Mula menulis blog pada pertengahan tahun 2010 setelah mendapat dorongan dari bapanya yang juga merupakan artis dan pendakwah terkenal, Ustaz Amal. Melalui moto inspirasi, "Kembali Pada-Mu", beliau tekad meneruskan hidup sebagai seorang blogger hanya untuk mencari Redha Allah SWT.
View my complete profile

Followers

Popular Posts

Powered by Blogger.

Halwa Telinga