Wednesday, January 11, 2012

3 Jiwa di Radio





" Bosanlah IKIM ni. Banyak cakap-cakap je.."


"IKIM tak dekat dengan jiwa remaja lah.."

"Huh, bosanlah. Macam ni ke radio Islam?"


Dialog di atas adalah luahan segelintir remaja apabila diputarkan siaran radio islamik IKIM.FM kepada mereka. Aku juga mengambil peluang yang sama untuk mendengar radio IKIM.FM secara rambang. Sekadar untuk memastikan, benarkah bosan? Kebetulan pada saat aku membuka siaran radio islamik itu, ada orang sedang bercerita tentang produknya. Aku terus membuat konklusi jangka pendek, ya memang membosankan!

Namun bila aku fikir panjang, aku tersenyum. Kemudian terus terdetik hendak mengetengahkan artikel kali ini.

Terimalah artikel ini, dari seorang remaja yang juga penggemar radio. Namun aku adalah penggemar radio yang telah terbelah jiwanya kepada tiga! Nilailah artikel ini dari seorang penggemar radio yang umurnya sudah ingin mencecah 18 tahun. Umur yang telah pun dibebankan dosa pahala keatasnya.

Selamat membaca!



Jiwa Remaja

Jiwa pertama yang aku maksudkan ialah jiwa remaja. Inilah jiwa yang saban hari suka memberontak dengan hidupnya. Jiwa yang sukakan cabaran. Orang kata remaja ini jenis yang berdarah 'panas'. Kalau boleh semua benda mahu dicubanya. Tidak kira yang berisiko mahupun yang kurang risikonya. Aku juga tidak terkecuali.

Lalu ada masa ketika aku membuka radio, jiwa aku sedang dalam mood keremajaan. Jadi aku akan mencari siaran radio yang memainkan lagu yang agak rancak dan sedikit 'keras'. Tidak kiralah radio mana sekalipun. HOT FM, HITZ FM, ERA, RED FM, X FM dan tidak terkecuali muzik retro terbaik SINAR FM. Semuanya akan aku teroka untuk memenuhi kehendak jiwa remaja.

IKIM juga akan menjadi sasaran jiwa remajaku jika pada waktu aku mendengarnya, memang IKIM memenuhi kehendak remajaku. Lagu yang rancak, keras, mencabar telinga dan mengaktifkan otak untuk menghadam bait-bait liriknya. Ini kehendak jiwaku pada waktu itu.

Ada waktu jiwa remajaku ini agak kreatif dan kritis. Jadi aku membuka radio bukan sekadar mahu mencari lagu yang rancak dan keras, tetapi apa sahaja jenis lagu yang sedap didengar dan pada nilaian aku layak dipanggil 'seni'. Maka jika ada lagu yang terkeluar dari senarai 'lagu yang berseni' pada nilaianku, akan aku bantai secukupnya dengan komen-komen pedas yang pasti menyakitkan hati si empunya lagu jika dia mendengarnya.


"Entah apa-apa lagu dia. Ini mesti tulis lirik waktu baru bangun tidur ni!"

"Dah tak pandai nyanyi, nak nyanyi jugak. Inilah padahnya bila dah keluar radio.
Menyakitkan hati rakyat sahaja!"

"Huh, dah biasa dengar dah lagu-lagu style macam ni. Ni mesti ciplak!"


Nak kata jiwa remaja ini, mana sempat berfikir dengan kata-katanya.



Jiwa Ilmu


Jiwa kedua ini boleh dikata lebih mulia jika hendak dibandingkan dengan yang sebelumnya. Aku beroleh banyak manfaat darinya. Semestinya radio IKIM.FM akan menjadi pilihan utama untuk mengisi jiwa ini. Jiwa yang cinta pada ilmu. Radio lain tak adakah? Entahlah. Mungkin aku tak perasan atau bagaimana. Bila aku buka, yang ada hanyalah muzik sahaja. Otak aku tak terisi. Namun kalau ada pengisian ilmu di radio lain, kawan-kawan beritahulah ya. Mungkin aku terlepas pandang.

Jadi pilihan aku sekarang hanyalah IKIM.FM. Tidak menafikan sudah semakin ramai golongan ilmuwan yang keluar di corong radio. Malah kredibiliti mereka selaku pelontar ilmu amat aku kagumi. Ada beberapa 'public figure' yang telah berjaya mencuri hatiku. Aku pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendengar perkongsian ilmu dari mereka.

Antara yang aku kagumi penyampaian ilmunya ialah Ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Beliau merupakan seorang pendakwah yang terkenal di tanah air malah telah menerbitkan beberapa buah buku best-seller. Juga merupakan seorang kolumnis dan ketua editor majalah SOLUSI yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat Muslim Malaysia.

Beliau mengisi slot "Mukmin Profesional" secara langsung di IKIM pada setiap hari Isnin pukul 5.15 petang. Siaran ulangannya aku kurang pasti. Kena selalu pekalah dengan siaran ulangannya di IKIM.FM. Aku sangat menyarankan kepada rakan-rakan yang membaca supaya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti program ini. Bagi aku perkongsian Ustaz Pahrol sangat menarik dan sesuai untuk semua lapisan umur. Hampir setiap satu minit Ustaz Pahrol bercakap, aku akan jadi takjub. Ada sahaja ilmu baru yang aku dapat. Bayangkan, setiap satu minit! Subhanallah. Ustaz Pahrol memang banyak mengubah persepsi hidup aku.

Berikut adalah link perkongsian ilmu Ustaz Pahrol:

LinkMukmin Profesional Bersiaran di Radio IKIM.fm


'Public figure' seterusnya yang sangat aku minati ialah Prof. Dr. Muhaya Mohamad. Beliau sempat juga keluar beberapa kali di IKIM.FM. Siapa tidak kenal beliau, seorang pakar mata yang sangat terkenal di Malaysia. Kata-katanya juga sangat hebat dan penuh dengan isi. Antara kata-katanya yang ingin aku kongsi di sini:

"Jangan jadi pakar motivasi. Kerana orang akan datang kepadamu jika mereka ada masalah sahaja. Jadilah pakar inspirasi. Maka akan ramai orang suka mendekatimu tidak kira mereka susah mahupun senang."


Hebatkan? Lihatlah orang-orang yang Allah kurniakan ilmu kepada mereka. Tinggal kita sahaja mahu mencedoknya atau tidak.



"Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."

Al-Baqarah: 269




Jiwa Muhasabah

Jiwa yang terakhir ini paling menenangkan. Jiwa muhasabah. Apa itu muhasabah? Muhasabah adalah satu sesi kita menilai semula apa kelemahan dan kelebihan yang telah kita lakukan sepanjang hari. Jadi IKIM.FM masih menjadi pilihan utama untuk aku muhasabah diri. Selalu jiwa muhasabah ini akan diketuk pada waktu sudah larut malam.

Aku akan buka IKIM. Dengar alunan ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh hati. Sekali-kala IKIM akan selitkan nasyid-nasyid berunsur keinsafan. Secara spontan aku akan 'flashback' semula apa yang telah aku lakukan sepanjang hari ini. Banyak baiknya, atau banyak buruknya? Banyak dosanya, atau banyak pahalanya? Banyak gembirakan orang ke, Banyak sakitkan hati orang? Tadi buka facebook, buat benda baik ke, buat benda lalai?

Semua itu termuhasabah secara spontan. Jika hari itu, mungkin kita ada melakukan sesuatu yang sangat teruk, pasti sahaja kita akan mengalirkan air mata jika kita benar-benar muhasabah diri. IKIM.FM adalah peneman muhasabah yang sangat baik.

Aku pernah dengar ceramah Ustaz Azhar Idrus. Ustaz ada mengatakan sesiapa yang tidurnya sambil mendengar ayat-ayat suci al-Quran, maka pahalanya pasti berterusan selagi bacaan al-Quran itu tidak terhenti! Subhanallah. Benda-benda yang macam inilah yang kita nak. Melakukan amalan-amalan yang mengalir pahalanya tanpa kita sedari.

Maka inilah 3 jiwa yang aku ingin sampaikan. Kawan-kawan juga mesti ada sebab-sebab yang lain kenapa mendengar radio kan? Ada yang mendengarnya sekadar nak hilang bosan, ada yang mendengarnya untuk mengetahui isu-isu semasa dan pelbagai lagi sebab kenapa kita mendengar radio. Pesananku, jadilah penggemar radio yang bertujuan. Insya Allah, setiap apa yang kita lakukan pasti ada ganjaran.

0 comments:

VIEWS METER

About Me

My Photo
ajwadaie
Muhammad Ajwad bin Amaluddin dilahirkan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 14 Julai 1994. Anak kedua dari empat adik beradik ini membesar disana dan kemudiannya telah berpindah ke Saujana Utama, Sungai Buloh sewaktu umurnya menjejak 10 tahun. Mendapat pendidikan awal di SK Sungai Penchala, KL dan di SK Saujana Utama, Sg Buloh. Kemudiannya meneruskan pengajian sekolah menengahnya di SMK Saujana Utama, Sg Buloh. Kini beliau telah menyambung pengajian di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya dalam bidang Sains Kemanusiaan. Mula menulis blog pada pertengahan tahun 2010 setelah mendapat dorongan dari bapanya yang juga merupakan artis dan pendakwah terkenal, Ustaz Amal. Melalui moto inspirasi, "Kembali Pada-Mu", beliau tekad meneruskan hidup sebagai seorang blogger hanya untuk mencari Redha Allah SWT.
View my complete profile

Followers

Popular Posts

Powered by Blogger.

Halwa Telinga