Monday, February 27, 2012
Ummi, Maafkan Rayyan...
Kisah ini adalah berdasarkan kisah sebenar. Jika anda pernah atau sedang berada didalamnya, saya mengajak kita semua bermuhasabah. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang lebih baik, Insya Allah.
............................................................................
Suatu petang yang hening. Aku baru sahaja sampai di rumah. Aktiviti ko-kurikulum di sekolah sebentar tadi agak memenatkan. Aku fikir petang ini ingin beristirehat sahaja di dalam bilik. Melayan hati yang lara dan jiwa yang gersang ini. Namun belum sempat aku membuka pintu bilik, ada suara menegurku dari belakang.
"Rayyan (bukan nama sebenar), mari sini kejap."
Aku menoleh ke belakang. Oh, Ummi rupanya yang menegurku. Aku lihat muka Ummi agak serius. Seperti ada perkara penting yang hendak dibicarakan. Tidak pernah aku lihat Ummi seserius ini.
"Rayyan penat lah. Nanti sahajalah kita sembang."
"Rayyan, Ummi perlu bercakap dengan Rayyan sekarang juga."
Nampaknya Ummi benar-benar ada hal penting yang ingin dibicarakan.
"Ummi nak tanya, siapa ini?"
Aku agak terkejut. Jantung aku mula berdegup kencang.
"Errkk.. Si.. Siapa Ummi?"
Ummi sekarang ini sedang memegang telefon bimbitku. Tertera di skrin telefon bimbit itu mesej-mesej yang banyak. 'Conversation' aku dengan seorang perempuan yang istimewa dalam hidup aku. Namun sebelum ini Ummi tidak pernah tahu akan hal itu. Aku tidak pernah beritahu pada Ummi! Aku yakin Ummi pasti marah jika mengetahui akan hubunganku dengan perempuan yang tertera di telefon bimbit itu.
"Sekali lagi Ummi tanya. Siapa ini?"
Peluh mula membasahi dahiku. Aku mula gelisah. Aku cuba mengatur ayat yang terbaik supaya tidak mengguris hati Ummi.
"Errkk.. Itu kawan sahajalah Ummi."
"Kawan apanya kalau dah sampai mesej banyak macam ni??!!"
Aku membisu. Nampaknya Ummi benar-benar marah. Alahai, kalaulah aku tahu perkara ini nak jadi, pasti akan aku bawa ke mana saja handphoneku itu!
"Siapa perempuan ni, Rayyan? Apa hubungan Rayyan dengan dia? Tolong jawab soalan Ummi."
Suara Ummi tersekat-sekat. Aku lihat air mata Ummi sudah mula bertakung. Aku fikir Ummi sudah membaca semua mesej di dalamnya. Ya, semua mesej 'cinta' ku dengan seorang gadis yang menjadi pujaan hatiku semenjak bulan lepas. Kini aku terpaksa menghadapi situasi yang genting. Berhadapan dengan Ummi.
"Ummi hantar Rayyan ke sekolah, suruh Rayyan belajar. Tapi ini yang Rayyan balas pada Ummi kan?"
Air mata Ummi sudah mengalir. Jiwa aku bercelaru. Kenapa sampai jadi begini? Arrgghhh!! Hati aku panas. Aku tak mampu nak kata apa-apa.
"Boleh Ummi tahu, siapa perempuan ni?"
Sekali lagi Ummi mengulang soalan yang sama. Aku sudah sakit mendengar soalan itu berulangkali.
"Orang kata kawan, kawanlah!"
Aku rampas telefon bimbitku dari tangan Ummi, kemudian aku terus meluru ke bilik. Menghempas pintu dan menguncinya. Kemudian mencampakkan diriku di atas katil.
"Sial!"
Aku hina apa yang telah terjadi sebentar tadi.
----------------------------------------------------------------------------------
~SETAHUN KEMUDIAN~
Aku kini sendirian. Tiada lagi teman istimewa. Tiada lagi mesej-mesej cinta. Semenjak berita tentang dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain tersebar, aku terus mengambil keputusan untuk memutuskan apa sahaja bentuk komunikasi dengan dia. Tertanya dia perempuan jahat!
Dalam pada aku sedang amarah menghina perempuan 'hina' itu, tidak semena-mena air mataku mengalir.
"Maafkan Rayyan, ummi. Maafkan Rayyan..."
Aku teresak-esak menahan tangisan. Aku fikir inilah padah mengguris hati ummi suatu ketika dahulu. Pada saat Ummi mengharap aku menjadi anak yang baik, anak yang tekun menuntut ilmu, aku pula memungkiri harapannya dengan menyibukkan diri pada CINTA PALSU ini. Kini jiwa aku pula merana. Merana dilukai cinta buta!
Ya Allah....
Aku fikir Allah masih sayangkan aku. Jika tidak, aku pasti akan terus bergelumang dengan dosa bersama perempuan itu. Aku tekad tidak mahu menjalinkan hubungan dengan mana-mana perempuan lagi. Cukuplah dosa yang sudah terbeban, cukuplah dengan cinta pura-pura! Aku mahu serius dalam hidup. Aku mahu bahagiakan kedua ibu bapa ku.
Sehinggalah suatu hari nanti, Allah sendiri yang akan mempertemukan aku dengan
wanita yang benar-benar ingin berpimpin tangan denganku menuju ke syurga!
AMIN.
Nota kaki: Kawan-kawan yang sedang sibuk bercinta, fikirkanlah sedalamnya. Ke mana hala tuju cinta kita sebenarnya? Adakah cinta yang telah kamu bina ini membahagiakan kedua ibu bapa? Adakah cinta yang sedang kamu bina ini semakin mendekatkan diri kamu dengan Allah SWT? Ayuh kita baiki semula. Binalah cinta berlandaskan cinta Allah SWT. Binalah cinta yang tidak melanggar batas-batas syarak. Kerana cinta ini bukan hanya untuk berseronok dunia semata-mata, namun kita punya misi besar untuk membawa cinta itu ke syurga!
Friday, February 17, 2012
Aku Masih Hidup!
Rasulullah SAW bersabda: “Dunia ini adalah (umpama) penjara kepada seseorang mukmin dan syurga buat orang kafir”.
(Hadith Riwayat Imam Muslim).
"Kenapa aku masih hidup?"
Persoalan yang kadangkala tercetus spontan dalam fikiranku. Persoalan ini jauh sekali untuk menzahirkan rasa tidak bersyukur atau sebagainya. Cuma aku sendiri suka mengorek hikmah disebalik peluang 'hidup' yang masih Allah berikan kepadaku. Sehingga sekarang, aku masih hidup dan masih diberi kekuatan untuk menghadap notebook dan menaip artikel kali ini.
Kenapa ya?
Mungkin...
Bangun pagi, lihat jam di telefon bimbit.
"Pukul 7??!!!"
Kelam kabut berlari ke bilik air dan mengambil wudhuk sekadarnya. Solat Subuh sengaja dipendekkan takut telah melanggar zon waktu Subuh walaupun hakikatnya solat Subuh itu sudah sedia ada 'pendek' (dua rakaat)! Selesai memberi salam, aku termangu di atas sejadah.
"Apa nak jadi aku ni...."
Subuh terlewat lagi. Walaupun alarm di telefon bimbit sudah di'set'kan untuk berbunyi hampir setiap setengah jam! Namun itulah aku, masih 'kematian' dibuai tidur. Bila difikir-fikirkan, di mana puncanya : TIDUR LEWAT. Mengeluh aku sendirian. Esok berazam untuk tidur awal dan bangun awal. Berazam nak berjemaah di surau. Namun 'keazaman' itu bertahan untuk beberapa hari sahaja. Kemudian tabiat lama berulang lagi.
Aku hina diri sendiri.
"Untuk apa kau hidup?"
Ingin dipaksa menangis, hati sudah keras dihempap 'subuh gajah'. Akhirnya diri ini hanya mampu berdoa kepada Allah semoga diberi kekuatan. Pernah juga berdoa dengan satu doa yang pelik.
"Ya Allah! Campakkan aku di satu daerah yang sunyi, tak ada orang. Biar diri ini rasa betapa susahnya hidup dan biar diri ini belajar bagaimana untuk berjuang dalam beribadat!!"
Aku sendiri pun tak faham apa makna doa ini. "Jiwa kacau".
Allah masih sayang
Muhasabah punya muhasabah, ternyata Allah itu masih sayang. Masih beri peluang untuk celik di pagi hari. Masih beri peluang untuk perbaiki diri. Masih beri peluang untuk muhasabah diri. Seakan-akan Allah berkata kepada diri ini:
"Jangan putus asa. Teruslah berusaha dan bertaubatlah kepadaKu!"
Ya Allah, maafkanlah atas kelemahan hamba. Tidak aku tahu ke mana hala tuju hidupku tanpa pedoman cinta-Mu, ya Allah. Bantulah aku menghadapi beratnya dunia. Permudahkanlah aku dalam berbuat amal menuju ke akhirat sana.
Ya Allah, perkenankanlah!
"Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Al-A'raf: 153
Kamu Masih Hidup
Ya. Aku masih hidup. Ternyata Allah masih memberi peluang untuk aku melakukan sesuatu. Ya, lakukan sesuatu! 24 jam sehari, maka berusahalah sehabis mungkin seolah-olah kamu ingin mati pada keesokan harinya!
Lemah? Ah! Itu bukan lagi alasan. Jika kamu jatuh, bangun semula. Bangkit semula mendekati Tuhan. Terkadang kamu berusaha memperbaiki diri, tetapi kamu terlupa untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Lemah? Ah! Itu bukan lagi alasan. Jika kamu jatuh, bangun semula. Bangkit semula mendekati Tuhan. Terkadang kamu berusaha memperbaiki diri, tetapi kamu terlupa untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Rasa keseorangan? Cari rakan yang baik.
Sabda Baginda bermaksud: "Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa."
[Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]
[Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]
Minta bantuan darinya untuk sama-sama memperbaiki diri. Jangan malu untuk menerima teguran darinya. Kerana dia juga manusia yang masih memerlukan teguran dari sesiapa sahaja. Orang yang bijak itu akan menerima teguran (ilmu) walaupun ia datang dari mulut seorang gila!
Rasa kosong? Jangan sesekali meninggalkan majlis ilmu yang diadakan di merata tempat. Terutamanya majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau. Jangan sesekali melupakan majlis ilmu jika mahu mendapat keberkatan hidup di dunia dan melengkapkan persiapan untuk menuju ke akhirat.
Sabda Rasulullah SAW: "Apabila kalian melalui suatu taman syurga, maka hendaklah kalian berhenti. Mereka bertanya: Apakah taman syurga itu, wahai Rasulullah? Baginda SAW menjawab: Majlis-majlis ilmu."
(Hadis riwayat At-Tirimizi)
(Hadis riwayat At-Tirimizi)
Pesanan ini untuk aku yang masih hidup. Untuk kamu juga yang masih hidup. Kerana aku tidak tahu, mungkin esok aku pergi dahulu. Mungkin sahaja kalian yang pergi dahulu. Marilah sama-sama kita ambil peringatan. Peringatan itu untuk orang yang hidup, tiadalah berguna peringatan itu untuk orang yang telah mati!
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Al-Baqarah: 269
Al-Baqarah: 269
Wednesday, February 15, 2012
Senyuman Rasulullah
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
"Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah".
Kata-kata Rasulullah yang ringkas ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah itu seorang manusia yang tidak lekang dengan senyuman. Walaupun kita umat akhir zaman ini tidak berkesempatan bersua muka dengan baginda, namun kita rasa bahagia setiap kali membaca kisah peribadi mulia Nabi Muhammad SAW. Orang yang sangat merendah diri, lemah-lembut, mudah didampingi dan seribu satu lagi akhlak terpuji yang amat menenangkan.
Salah satu reaksi Rasulullah yang membahagiakan sahabat-sahabat adalah senyuman. Senyuman manis Rasulullah yang sungguh memikat hati sesiapa sahaja yang melihatnya.
Diriwayatkan dari Jabir dalam sahih Bukhari dan Muslim, beliau berkata: “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah SAW tidak pernah menghindar dariku. Dan beliau tidak melihatku kecuali beliau pasti tersenyum kepadaku.”
Lihat bagaimana senyuman Rasulullah meraikan semua orang. Malahan sewaktu Rasulullah berada pada saat-saat genting, baginda masih mampu mengukir senyum.
Suatu ketika Nabi Muhammad SAW didatangi seorang Arab Badwi, dengan serta merta ia berlaku kasar dengan menarik selendang Muhammad SAW, sehingga leher beliau membekas merah. Orang Badwi itu bersuara keras: "Wahai Muhammad, perintahkan sahabatmu memberikan harta (membayar hutang) dari Baitul Maal!" Lalu Nabi Muhammad SAW menoleh kepadanya lalu tersenyum. Kemudian beliau menyuruh sahabatnya memberi harta dari baitul maal kepadanya.
Allahu akbar. Mulianya akhlak Rasulullah SAW. Bagaimana pula dengan kita? Sudah membiasakan senyum? Senyumlah. Kerana disitu terletaknya keindahan Islam yang cuba diterjemahkan oleh Rasulullah kepada kita.
Wednesday, February 8, 2012
Tangisan Rasulullah
Pernah sekali Nabi Muhammad SAW telah menangis semalaman sambil berkali-kali membaca sepotong ayat dalam sembahyang Tahajjudnya. Ayat itu bermaksud: "Jika Engkau siksa mereka (pendosa) maka sesungguhnya mereka itu adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau ampunkan mereka maka sesungguhnya Engkaulah yang maha kuasa dan bijaksana."
Ternyata Rasulullah merupakan manusia yang banyak menangis. Sedangkan kita semua tahu Rasulullah SAW adalah manusia yang maksum, tidak pernah terjebak dalam dosa. Malahan Rasulullah adalah kekasih Allah, manusia yang di jamin syurga! Justeru untuk apa Rasulullah menangis?
Menangisnya Rasulullah bukanlah kerana banyaknya dosa, tetapi kerana ingin mengajak diri baginda dan kita semua menjadi hamba kepada Pencipta. Maka tangisan itu menandakan lemahnya diri kita dihadapan Allah SWT. Tangisan itu tanda tunduknya kita kepada kebesaran Allah SWT. Manusia tidak punya apa-apa untuk dibanggakan, untuk diangkuhkan. Semuanya milik Allah SWT. Itu yang cuba Rasulullah terjemahkan kepada kita.
Malahan tangisan Rasulullah bukanlah untuk menangisi dirinya. Rasulullah menangis kerana mengenangkan nasib umatnya, umat akhir zaman yang bakal menempuh pelbagai dugaan dan cabaran dalam fasa terakhir hidup yang penuh dengan fitnah. Oleh sebab itu Rasulullah menangis. Menangis kerana risaukan kita! Subhanallah. Bagaimana pula dengan kita? Menangisnya kita kerana apa?
Daripada Abdullah bin Mas'ud , katanya: Rasulullah SAW telah bersabda kepadaku; "Bacakanlah al-Quran untukku". Lalu aku berkata; "Wahai Rasulullah, bagaimana aku akan membacakannya sedangkan ianya turun kepadamu? Rasulullah bersabda; "Aku suka mendengarnya daripada bacaan orang lain". Maka aku bacakan surah al-Nisa sehinggalah sampai kepada ayat 41 yang bermaksud;
"Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu [1])".
Lalu aku lihat kedua-dua mata Nabi berlinangan dengan air mata".
(Hadis riwayat Bukhari dalam sohehnya.)
Wednesday, January 18, 2012
Ku Mahu Syurga Mu
"Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)."
Al-Baqarah: 11
Bila aku pulang sahaja dari Kem Kembara Remaja di Puncak Lui, Hulu Langat tempoh hari, aku teringat satu puisi yang pernah aku tulis sewaktu aku tingkatan 4. Puisi yang mencerminkan keindahan alam yang kita lihat dengan mata sendiri. Namun keindahan yang kita ekspresikan ini tidak mampu menandingi keindahan syurga yang tidak terbayang dek mata mahupun hati.
Namun kenangan sewaktu jungle trekking dengan sahabat-sahabat SYABAB sangat meninggalkan kesan yang mendalam pada diriku. Melihat kehijauan alam, sungai yang mengalir jernih. Subhanallah, aku jadi terkesima dengan ciptaan Allah. Masih ada lagi kawasan yang terpelihara seperti ini. Terpelihara dari kesibukan kota, dari asap-asap kereta dan segala-galanya yang menyesakkan. Maaflah jika tiada gambar di sana yang mampu dikongsi. Namun cukuplah puisi ini menterjemahkan betapa berbunganya hati terhadap keindahan ciptaan Ilahi.
* * *
Ku Mahu SyurgaMu
Bila aku berjalan terus di lantai bumi
Ribuan indah ku lihat di mata
Ku lihat disana keindahan flora
Keunikan fauna memukau jiwa
Lantas hati ku bertanya
Begini hijau dunia
Bagaimana warnanya syurga?
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda:
"...Dan di dalam syurga kesenangannya yang
tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga,
bahkan tidak pernah terlintas
dalam hati (perasaan) manusia...."
tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga,
bahkan tidak pernah terlintas
dalam hati (perasaan) manusia...."
Allahumma Inni As'alukal Jannah
Wa Na'uzubika Minan Nar
Ya Allah kurniakan ku syurga
Jauhi aku dari neraka
Disini mengalir sungai yang jernih
Bagaimanakah syurga yang mengalir dingin
Mutiara sungai di bawahnya
Ku dipersembahkan dengan kecantikan manusia
Lantas ku terbayang
Ramahnya malaikat, Senyumnya bidadari disana
"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,
Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Mereka beroleh dalam Syurga itu pasangan-pasangan,
isteri-isteri yang suci bersih, serta
Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh
yang sentiasa dinaungi."
An-Nisa': 57
"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,
Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Mereka beroleh dalam Syurga itu pasangan-pasangan,
isteri-isteri yang suci bersih, serta
Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh
yang sentiasa dinaungi."
An-Nisa': 57
Ku mahu syurga-Mu
Pasti takkan sama
Tiada tara, tiada setandingnya
Ya Allah, ku usaha semampunya
Untuk mencintai-Mu sepenuhnya
Agar dapat aku bersama kekasih-Mu
Bersama pencinta-Mu disana
Di Mahligai Syurga
Subscribe to:
Posts (Atom)
VIEWS METER
About Me
- ajwadaie
- Muhammad Ajwad bin Amaluddin dilahirkan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 14 Julai 1994. Anak kedua dari empat adik beradik ini membesar disana dan kemudiannya telah berpindah ke Saujana Utama, Sungai Buloh sewaktu umurnya menjejak 10 tahun. Mendapat pendidikan awal di SK Sungai Penchala, KL dan di SK Saujana Utama, Sg Buloh. Kemudiannya meneruskan pengajian sekolah menengahnya di SMK Saujana Utama, Sg Buloh. Kini beliau telah menyambung pengajian di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya dalam bidang Sains Kemanusiaan. Mula menulis blog pada pertengahan tahun 2010 setelah mendapat dorongan dari bapanya yang juga merupakan artis dan pendakwah terkenal, Ustaz Amal. Melalui moto inspirasi, "Kembali Pada-Mu", beliau tekad meneruskan hidup sebagai seorang blogger hanya untuk mencari Redha Allah SWT.
Followers
Popular Posts
-
Hazirat Yazid bin Maisarah r.a. pernah berkata.. Tangisan seseorang itu berlaku kerana 7 PERKARA.. Pertama.. Kerana gembira.. Kedua.. Kerana...
-
Suatu petang yang terik. Berkesempatan juga aku singgah di masjid Saujana Utama Untuk menunaikan solat 'asar. Setibanya aku di perkarang...
-
Seorang hamba Allah memberi pandangan.... "Dalam Islam.. Kalau tak silap saya.. bila kita dah suka kat seseorang.. kita akan ala-ala co...
Powered by Blogger.